Maaf…

September 26, 2011 Tinggalkan komen

Kepada pengunjung laman ini…saya lama tidak “update” laman ini…

Kategori:Uncategorized

Panduan Menjawab Pemahaman

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

Teknik Menjawab Soalan Pemahaman

Soalan pemahaman ada empat jenis, iaitu:
1. Menganalisis petikan.
2. Maksud rangkai kata.
3. Unsur-unsur sastera
4. Pendapat (Kemahiran berfikir)

1. Menganalisis Petikan
Peringatan.
i. Jawapan ada dalam petikan.
ii. Jangan guna pendapat sendiri.

Contoh soalan 2(a)(ii)

Bagaimanakah pesakit kronik memperoleh sumber kewangan untuk membiayai perubatan mereka?
[3 markah]
Petikan

… Hal ini demikian kerana pesakit-pesakit kronik yang memerlukan rawatan segera terpaksa meminta bantuan daripada individu atau dermawan tertentu. Golongan pesakit kronik ini juga biasanya berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai melalui media elektronik atau media cetak.
Dalam pada itu, kita sedar bahawa telah wujud banyak badan kebajikan dan badan amal, baik yang ditubuhkan oleh kerajaan mahupun yang ditubuhkan orang ramai. Kita harus bersyukur kerana badan-badan ini telah banyak memberi sumbangan kepada kebajikan rakyat negara ini.

Jawapan
Pesakit kronik memperoleh sumber kewangan untuk membiayai perubatan mereka dengan cara meminta bantuan daripada individu tertentu atau dermawan tertentu. Mereka juga berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai melalui media elektronik atau media cetak. Selain itu, badan kebajikan dan badan amal yang ditubuhkan oleh kerajaan mahupun orang ramai banyak memberi sumbangan kepada mereka.

2. Maksud Rangkai Kata
Peringatan

i. Seboleh-boleh jangan ambil satu pun perkataan yang diuji

ii. Uji balik maksud yang diberi ke dalam petikan asal

Contoh soalan 2(c)(i)

Berikan maksud rangkai kata hendak akan Seri Rama berdasarkan petikan di atas.
[2 markah]
Petikan

Maka ia pun berdiri di hadapan Seri Rama maka pelbagai ia menjadikan dirinya dan rupanya hendak akan Seri Rama, “Hai perempuan muda, aku telah beristeri jika engkau hendak bersuami ada saudaraku Laksamana di balik bukit ini, pergilah engkau ke sana!”

Jawapan

Maksud rangkai kata hendak akan Seri Rama (tersebut) adalah ingin menjadikan Seri Rama sebagai suami.

3. Unsur-Unsur Sastera
Peringatan

i. Berkaitan dengan tema, persoalan, nilai, pengajaran atau perwatakan.

Contoh Soalan 2(b)(iii)

Huraikan satu perwatakan ibu Murni dalam petikan di atas dan dua perwatakan ibu Murni dalam cerpen.
(3 markah)

Petikan

“Aku senang hati di kampung ini Murni. Rasanya tak ada apa-apa yang terkilan di hati aku ni kalau aku mati pun. Tak usahlah kau susah-susah tentang mak kau ni Murni”, tambahnya.

Jawapan

Perwatakan ibu Murni yang terdapat dalam petikan di atas ialah seorang yang degil kerana dia tetap tidak mahu ke rumah Murni di bandar walaupun beberapa kali dipujuk oleh Murni.
Manakala perwatakannya dalam cerpen ialah seorang penyayang. Buktinya dia membeli tanah kepada Murni. Selain itu, dia juga seorang yang rajin. Buktinya, beliau menajak rumput di sekeliling rumah Murni.

4. Pendapat

Peringatan

i. Mesti berasaskan idea sendiri
ii. Jangan ambil dalam petikan
iii. Setiap isi yang diberi mestilah dalam skop
yang berlainan

Contoh Soalan 2(d)(ii)
Berdasakan seloka di atas,pada pendapat anda, apakah sifat yang perlu kita hindari dalam hidup ini?
Mengapakah anda berpendapat demikian?
[4 markah]

Petikan
Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela

Mendengar guruh di langit
Air di tempayan dicurahkan

Apa didengar gelagat dagang
Orang berbunga dia berbunga

Jawapan

Pada pendapat saya, sifat bodoh atau bertindak tanpa berfikir perlu kita hindari, supaya kita tidak akan menyesal pada kemudian hari. Sifat tamak juga perlu dihindari kerana orang tamak selalunya rugi. Begitu juga dengan sifat sombong, kita perlu hindari supaya kita tidak dibenci orang. Selain itu, sifat terlalu percaya cakap orang luar perlu dihindari, supaya kita tidak mudah terkena tipu.
ANALISIS SOALAN PEMAHAMAN PROSA MODEN SPM
Tahun Perincian Petikan Antologi Aspek KOMSAS yang diuji
2001 Cerpen – Tragedi Kerusi Nilai kemanusiaan
2002 Drama – Sri Nara Anak Laut Nilai murni
2003 Cerpen – Menatap Wajahnya Anak Laut Pengajaran
2004 Cerpen – Budi Yang Tak Terbeli Anak Laut Perwatakan
2005 Drama – Puteri Li Po Kerusi Pengajaran
2006 Cerpen – Kerana Manisnya Epal Anak Laut Pengajaran
2007 Drama – Titik- titik Perjuangan Anak Laut Pengajaran

Tahun Perincian Petikan Antologi Aspek KOMSAS yang diuji
2001 Cerita Bayan Tiada Menurut Kata
Ibu Bapanya Anak Laut
2002 Kezaliman Membawa Padah Kerusi
2003 Asal Usul Raja Kecil Kerusi
2004 Sikap Terburu-buru Membawa Padah Anak Laut
2005 Cerita Bayan Tiada Menurut Kata
Ibu Bapanya Anak Laut
2006 Kepahlawanan Tun Beraim Papa Kerusi
2007 Asal Usul Raja Kecil Kerusi
ANALISIS SOALAN PEMAHAMAN PROSA KLASIK SPM

Tahun Perincian Petikan Antologi Aspek KOMSAS yang diuji
2001 Sajak – Aku Menjadi Lebih Berani Anak Laut Persoalan
2002 Gurindam – Gurindam Baris Hadapan Anak Laut Mesej
2003 Sajak – Tukang Gunting Kerusi Perwatakan – Sifat
2004 Seloka – Seloka Pandai Pak Pandir Kerusi Tema dan Persoalan
2005 Sajak – Sejarah Kerusi Persoalan
2006 Syair – Syair Pembunuhan Angreni Anak Laut Nilai Murni
2007 Gurindam – Gurindam Memelihara Anggota dan Hati Kerusi Pengajaran

Panduan Menjawab Rumusan

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

PANDUAN MENJAWAB RUMUSAN

1. Pendahuluan – tema kepada petikan (satu unsur
sahaja)

2. Isi Tersurat – Kutip enam isi, iaitu:

a) Jawapan kepada soalan pertama.
b) Terdapat dalam petikan.

3. Isi Tersirat – cari dua isi, iaitu:

a) Jawapan kepada soalan kedua.
b) Tidak terdapat di dalam petikan.

4. Kesimpulan – Mesti ada dua unsur.

a) Penyelesaian
b) Harapan

Soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik (unsur 1 / tersurat) dan sebab-sebab penubuhannya.(unsur 2 / tersirat)

Pendahuluan :
Petikan membincangkan kebaikan/kepentingan penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik. (10 patah perkataan).

Perenggan isi Tersurat.
Bagaimana mencari isi tersurat?
i. Baca secara luncuran dan garis setiap isi dengan pensel / marker pen.
ii. Teknik subjek dan predikat.

Subjek Predikat
Faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik (isi yang bersesuaian dalam petikan)

Kita percaya bahawa adalah lebih wajar diwujudkan badan khas untuk [membolehkan pesakit-pesakit kronik mendapat bantuan kewangan]1. Badan khas ini juga [dapat membiayai rawatan segera]2 supaya mereka tidak perlu membuat rayuan kepada orang ramai. Di samping itu,[orang ramai atau badan-badan yang ingin menderma dapat menyalurkan sumbangan secara sistematik kepada badan berkenaan]3 supaya dapat disampaikan kepada pesakit kronik yang memerlukan bantuan. Kita percaya bahawa dengan cara ini, [bantuan akan dapat disalurkan secara lebih tersusun, terhormat dan telus]4. [Pesakit kronik pula tidak perlu memainkan sentimen simpati orang ramai melalui media]5. Dengan cara ini, [gagasan masyarakat penyayang akan dapat dilihat lebih adil, proaktif dan komprenhensif]6. [Semua penghidap penyakit kronik akan memperoleh manfaat]7 dan bukan hanya pesakit kronik yang mempunyai kedudukan tertentu sahaja. Namun begitu, orang ramai yang ingin menyumbangkan derma secara langsung kepada individu tertentu masih boleh berbuat demikian. Sumbangan mereka ini haruslah digalakkan. Langkah mereka akan mengurangkan beban badan yang dicadangkan supaya badan ini dapat menumpukan perhatian kepada golongan yang tidak berupaya untuk mendapat bantuan daripada pihak lain.

Dalam pada itu, kita sedar bahawa telah banyak wujud badan kebajikan dan badan amal, baik yang ditubuhkan oleh kerajaan mahupun yang ditubuhkan oleh orang ramai. Kita harus bersyukur kerana badan-badan ini telah banyak memberi sumbangan kepada kebajikan rakyat di negara ini. Namun begitu, jika ada penyelarasan yang lebih berkesan, kita percaya [lebih banyak anggota masyarakat yang memerlukan bantuan akan mendapat manfaat]8. Sememangnya kerajaan dan badan-badan amal tidak akan dapat membantu semua orang yang memerlukan bantuan tersebut. Kita berharap agar penyelarasan yang berkesan akan mampu memberikan manfaat kepada golongan yang berkenaan seluas-luasnya.

Penubuhan badan ini [dapat menentukan keperluan bantuan sebenar pesakit]9 dari segi jenis, kos dan tempat rawatan. Secara tidak langsung, badan ini dapat memastikan bahawa [wang yang disumbangkan itu dimanfaatkan sepenuhnya]10. Sesungguhnya, kewujudan masyarakat penyayang yang mampu melindungi kebajikan anggotanya yang daif merupakan salah satu ciri penting sesebuah negara penyayang.

Bagaimana Menulis isi-isi tersurat?
i. Ambil fokus utama sebagai sebahagian jawapan.
ii. Guna penanda wacana seperti selain itu, seterusnya.
iii. Guna ganti nama seperti “itu”, “nya”
iv. Jangan masukkan contoh dan huraian. Isi yang terdapat dalam petikan sahaja. (6 isi)
v. Tanda baca noktah dan koma mesti jelas.
vi. Kegramatisan ayat perlu dijaga.

Antara faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik ialah …………………………………, dan …………………………………. Di samping itu, kebaikannya ialah ………………………………………. dan ……………………………………… . ……………………………………….. juga merupakan kepentingan penubuhannya.

Perenggan Isi Tersirat : Bagaimana menulis isi tersirat ?
i. Ambil fokus kedua dalam soalan sebagai sebahagian jawapan.
ii. (Ulangi seperti isi tersurat)

Subjek Predikat
Sebab penubuhannya (isi yang bersesuaian / tiada dalam petikan)
1. Supaya menyegerakan rawatan kepada pesakit kronik.#

2. Untuk menggalakkan orang ramai menderma

3. Agar golongan pesakit kronik yang miskin mendapat rawatan.

4. Supaya bantuan orang ramai tidak diselewengkan.

5. Sebab bilangan pesakit kronik semakin bertambah

6. Sebab kos rawatan pesakit kronik mahal.

Menulis Penutup/Kesimpulan : Bagaimana menulis penutup?

i. Dua komponen iaitu /seruan /cadangan/saranan dan hasil yang positif.

……(apa/bagaimana)……supaya/agar/bagi…………(siapa)………………
Contoh kesimpulan:

1. Semua pihak hendaklah memberi sokongan kepada penubuhan badan ini agar masyarakat kita sihat sejahtera.

2. Penubuhan badan ini perlu disegerakan semoga pembangunan negara tidak terhalang.

Contoh jawapan rumusan pelajar.

Petikan ini membincangkan kebaikan penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik,
Antara manfaat penubuhan badan khas ini ialah membolehkan pesakit-pesakit kronik mendapat bantuan kewangan dan dapat membiayai rawatan dengan cepat. Di samping itu, kebaikannya juga ialah sumbangan daripada masyarakat dapat disalurkan dengan sistematik, dan para pesakit kronik tidak perlu menghebah penderitaan melalui media bagi menagih simpati masyarakat. Selain itu, badan khas ini boleh menentukan keperluan bantuan sebenar pesakit, dan memastikan wang sumbangan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Antara sebab penubuhan badan khas ini adalah untuk menyelaraskan sumbangan derma daripada masyarakat, dan dapat mengagihkan wang tersebut dengan adil. Tujuan penubuhannya juga disebabkan kos rawatan terlalu mahal dan masyarakat tidak mampu untuk membiayainya.
Kesimpulannya, semua pihak harus menyokong penubuhan badan ini agar pesakit kronik akan mendapat pembelaan sewajarnya.

(122 patah kata)

Aspek pemarkahan rumusan.
Isi (20m) dan Bahasa (10m)

ISI (20 markah)

Bahagian Markah Markah
a. Pendahuluan 2
b. Isi tersurat 4 6 8 10 12 16
c. Isi tersirat 12 10 8 6 4
d. Penutup 2

BAHASA (10 markah)
Pastikan bahasa rumusan anda menepati kriteria berikut :-
a. kesinambungan isi.
b. tatabahasa dan struktur ayat baik.
c. Kosa kata luas
d. Ejaan dan tanda baca betul.

Kebiasaannya markah bahasa bergantung kepada markah isi (biasanya separuh jumlah isi)

Isi = 18
Bahasa = 9 (jika terdapat kesalahan lazimnya
ditolak 1m) jadi 8 markah.

Pastikan anda mencari sebanyak mungkin
isi kerana markah bahasa akan mengikuti
markah isi.

1. Jika salin bulat-bulat daripada petikan walaupun tidak melebihi 120 patah perkataan, tidak diterima (0 markah)

2. Jika melebihi 120 patah perkataan, perkataan yang selebihnya itu tidak akan diperiksa (tiada markah).

3. Tulis dalam bentuk point, potong markah.
(50% daripada markah bahasa yang diperoleh)

4. Kesalahan ejaan dan bahasa, potong markah bahasa.

5. Markah isi maksima 20 markah.
(Pendahuluan+Isi tersurat+Isi tersirat+Kesimpulan)

6. Markah bahasa maksima 10 markah.
(50% daripada markah isi yang diperoleh

Kategori:RUMUSAN

KARANGAN CONTOH : ISU VANDALISME

Disember 13, 2009 2 comments

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME

Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan ‘vandalisme’. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menangani masalah ini? (82 patah perkataan)

Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”. (100 patah perkataan)

Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. (81 patah perkataan)

Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. (93 patah perkataan)

Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah’.(78 patah perkataan)

KARANGAN CONTOH : BAHAN RANGSANGAN (Isu Patriotisme)

Disember 13, 2009 1 komen

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK

Dewasa ini, golongan remaja dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik.(IU) Isu yang mencetuskan polemik dalam kalangan media massa saban hari ini pantas meniti dari bibir ke bibir. Remaja acap kali dikaitkan dengan kebejatan sosial dan budaya hedonistik yang begitu cepat merebak umpama virus epidemik.(UI) Maka, prakarsa yang pragmatik perlu diambil demi memastikan api semangat patriotik dalam kalangan remaja tidak terpadam dan lenyap begitu sahaja sebelum nasi menjadi bubur.(KS)(67 patah perkataan)

Antara langkah dominan bagi menyuburkan semangat patriotik adalah dengan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan.(AI) Program yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu ini sememangnya mempunyai pelbagai maslahat yang amat berguna. Hal ini demikian kerana tentatif program tersebut dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotik seperti latihan kawat kaki, kursus menembak, dan aktiviti berkumpulan.(H/C) Melalui aktiviti – aktiviti ini, pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati.(H/F) Hal ini dapat memupuk perpaduan yang merupakan elemen penting dalam semangat patriotik, bak kata pepatah, ’bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.(H/F)(100 patah perkatan)

Di samping itu, tokoh-tokoh yang berjasa dan telah banyak menabur bakti kepada negara sewajarnya dikenali dan dihargai.(AI) Tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong dapat menjadi inspirasi dan idola para remaja.(H/C) Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja dan ’tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ agar tidak menjadi lipatan sejarah semata-mata.(H) Para remaja perlulah mengimplementasikan semangat patriotik ke arah yang positif seperti belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras memajukan negara, dan memartabatkan nama negara sehingga Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.(H)(104 patah perkataan)

Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik amat penting demi kelangsungan negara kita pada masa hadapan.(KI) Tanpanya negara hanya gah pada pandangan zahir tetapi pada hakikatnya kosong dan rapuh. Para remaja digalakkan menyertai PLKN dan membaca kehidupan tokoh-tokoh pejuang bangsa bagi menyuburkan kecintaan kepada negara.(RI) Pendek kata, ”Negara Kita Tanggungjawab Kita” tema hari kemerdekaan akan direalisasikan oleh warga yang patriotik. Ayuh para remaja, hidup suburkanlah semangat patriotik ke dalam diri kita semua !(H)(69 patah kata)

Novel : Tema (Banding)

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

Soalan
Berdasarkan dua buah novel yang kaji, bandingkan perbezaan tema novel tersebut.
Contoh jawapan.

Dua buah novel yang saya kaji dan bandingkan ialah novel Putera Gunung Tahan dan Di Hadapan Pulau.

Novel Putera Gunung Tahan membawa tema semangat cinta tanah air dan perjuangan mempertahankan tanah air daripada penjajah Brirtish. Tema ini dapat dilihat melalui perjuangan beberapa watak dalam novel. Pahlawan-pahlawan Melayu seperti Bahaman, Mat Gajah dan Mat Kilau sanggup bermati-matian menentang penjajah dengan mengangkat senjata. Perempuan tua pula sanggup tinggal dalam hutan kerana tidak suka berada di bawah kekuasaan British. Begitu juga dengan Ratu Bongsu. Baginda menubuhkan kerajaannya di puncak Gunung Tahan demi menjaga maruahnya supaya tidak diperintah oleh Inggeris. Selain itu, demi cintanya kepada tanah air, banginda menolak tawaran lumayan yang diberi oleh Tuan William supaya menyerahkan puncak Gunung Tahan walaupun baginda akan bahayanya.

Manakala / Sebaliknya / Berbeza dengan (penanda wacana perbandingan wajib dimasukkan) novel Di Hadapan Pulau pula membawa tema penderitaan rakyat jelata akibat peperangan. Rakyat hidup dalam keadaan ketakutan dan kesusahan semasa pemerintahan tentera Jepun. Selain itu, mereka juga menghadapi masalah ketiadaan makanan, kekurangan pakaian dan ancaman pelbagai penyakit. Rakyat hidup dalam keadaan cemas dan terpaksa berlindung dalam shelter bagi mengelakkan serangan bom, meriam dan peluru sesat. Kematian berlaku di mana-mana saja akibat kekejaman tentera jepun dan kebuluran yang terpaksa ditanggung rakyat.

Aspek Kajian Komsas

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

ASPEK KAJIAN KOMSAS
Sinopsis
1. Ringkasan cerita lebih kurang 100 -150 patah perkataan.
2. Mengandungi huraian cerita mengikut urutan masa berdasarkan plot.
Tema dan Persoalan
1. Tema ialah persoalan utama yang diungkapkan dalam sesuatu karya, sama ada secara langsung (eksplisit) atau tidak langsung (implisit).
2. Persoalan bermaksud perkara-perkara sampingan atau isi yang lebih kecil yang ada hubungannya dengan tema sesuatu karya.
Watak dan Perwatakan
1. Watak ialah pelaku atau tokoh dalam sesuatu karya yang menggerakkan cerita dengan cara berinteraksi sesama watak dan alam.
2. Perwatakan pula ialah pelukisan tentang watak dari aspek luaran dan dalaman.
3. Pelukisan watak itu boleh dilakukan secara langsung atau secara tidak langsung olen pengarang melalui aksi, tutur kata, atau watak-watak berkenaan.
4. Dalam sesuatu cerita lazimnya terdapat istilah yang berkaitan dengan aspek watak, iaitu watak utama, watak sampingan, watak bundar, watak pipih, watak dinamik, watak statik, protagonis dan antagonis.
5. Sifat perwatakan digambarkan melalui tindak-tanduknya, cara berfikir, cara bercakap, rupa paras, fizikalnya, kepercayaannya dan ideologi, serta gambaran perasaan seseorang atau watak itu.
6. Watak pipih lazimnya tidak kompleks, tidak berkembang, dan tidak memeranjatkan pembaca.
7. Watak bulat amat menarik kerana watak jenis ini menuju ke pelbagai arah sama ada menambah pengalamannya, mengubah sikapnya, dan fizikalnya.
8. Watak dinamik ialah watak yang mengalami pelbagai konflik, persoalan, dan permasalahan dari awal hingga akhir.
9. Watak statik atau kaku tidak mengalami apa-apa perubahan, perkembangan, dan tidak bergerak.
10. Watak yang berperanan amat penting disebut watak utama. Watak yang kurang penting dalam cerita disebut watak sampingan.
11. Watak protagonis ialah watak utama dalam sesebuah cereka. Watak ini tidak semestinya orang yang baik, tampan, dan berperikemanusiaan. Dia mungkin diktator, koruptor, penjenayah, dan sebagainya. Watak antagonis menjadi penentang atau lawan kepada watak protagonis.
Plot
1. Plot ialah sesuatu yang menghubungkan peristiwa-peristiwa dalam sesebuah cerita. Setiap penstiwa dari awal hingga akhir berdasarkan hukum sebab dan akibat.
2. Plot mengemukakan perkara yang terjadi dan sebab perkara itu terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan faktor-faktor sebab dan akibat.
3. Susunan cerita bergantung pada fantasi dan kreativiti pengarang. Plot dirangka dengan teliti dan tidak semestinya berurutan peristiwanya dari awal hingga akhir atau kronologi. Plot ialah penyusunan kronologi yang diubah suai mengikut kemahuan pengarang.
4. Teknik penyusunan plot yang menarik ialah penyusunan peristiwa secara tidak kronologi. Pengarang haruslah cekap, kreatif, dan bijaksana menyusunnya sehingga mencapai peleraian.
5. Permulaan plot ialah peringkat permulaan (eksposisi), iaitu untuk memperkenalkan watak-watak, latar, dan suasana.
6. Perkembangan plot mengakibatkan konflik.
7. Peristiwa berkembang kepada peringkat pertengahan cerita, iaitu perumitan (komplikasi).
8. Perumitan menuju kepada puncak (klimaks) apabila tercapainya konsentrasi yang maksimum.
9. Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian. Kadang-kadang puncak dijadikan pengakhiran cerita bagi sesetengah cereka.
Teknik Plot
1. Teknik plot ialah cara pengarang mengembangkan plot ceritanya supaya menarik.
2. Antara teknik plot termasuklah seperti yang berikut:
(a) Imbas kembali
1. Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya.
2. Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman
(b) Imbas muka
1. Imbas muka merupakan cara pengarang memberikan bayangan awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan.
2. Imbas muka dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku.
(c) Saspens
1. Saspens atau ketegangan ialah peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu di kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berlaku selanjutnya.
(d) Konflik
1. Konflik merupakan pertentangan antara dua pihak atau dua kekuatan dalam satu urutan plot.
2. Konflik boleh berlaku secara dalaman, iaitu konflik dalam diri watak dan secara luaran, iaitu antara watak dengan watak yang lain atau antara watak dengan alam sekitar.
3. Konflik dapat juga digambarkan melalui pertentangan pendapat, idea, sikap, atau pemikiran?
(e) Kejutan
1. Kejutan ialah perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga oleh pembaca.
2. Lazimnya, kesan yang timbul daripada kejutan tidak sama dengan yang diduga oleh pembaca.
(f) Dialog
1. Dialog merupakan pertuturan antara dua watak atau lebih daripada dua watak.
2. Melalui dialog antara watak-watak inilah biasanya tergambar pendapat atau fikiran yang berkaitan dengan tema.

Latar
Latar berperanan memberikan suasana kepada peristiwa dan manusia yang terdapat dalam cerita.
Latar penting dalam mengembangkan tema, persoalan, plot, watak, dan perwatakan. Idea, plot, dan watak akan lebih hidup jika berada dalam situasi pelbagai latar.
Latar merangkumi pelukisan geografi, topografi, pemandangan, bangunan, peralatan, tanggungjawab watak, waktu, dan sebagainya.
Latar terbahagi kepada empat jenis, iaitu:
(a) Latar tempat
Merupakan ruang atau tempat peristiwa berlaku yang berkaitan dengan lokasi geografi.
(b ) Latar waktu atau masa
Menunjukkan masa peristiwa berlaku seperti zaman, era, sejarahnya, atau musimnya.
(c) Latar masyarakat atau citra masyarakat
Menunjukkan gambaran keadaan masyarakat dalam cerita merangkumi bangsa atau etnik, status dan kehidupan sosial, ekonomi, dan sebagainya yang bersesuaian dengan watak.
(e) Latar peralatan cerita dan watak
Alatan yang digunakan oleh watak dalam sesebuah cerita.

Sudut Pandanqan (Aspek pilihan sahaja)
Sudut pandangan berperanan untuk mengisahkan sesuatu cerita dan menjelaskan pihak yang men-ceritakan sesuatu kisah. Maka sudut pandangan mempunyai hubungan yang erat dengan watak.
Menurut Anwar Ridhwan (1985), sudut pandangan ialah cara bagaimana pembaca dihidangkan dengan bahan cerita atau bagaimana pengarang memilih cara yang terbaik untuk menyampaikan ceritanya.
Teknik sudut pandangan:
(a) Sudut pandangan orang, pertama
Pengarang bercerita sendiri atau terlibat dalam cerita sebagai watak utama atau watak sampingan. Sudut pandangan ini disebut sebagai gaya aku, iaitu cerita iru dibawakan seluruhnya oleh watak aku, orang pertama, secara subjektif. Maknanya pengarang terlibat secara aktif. Teknik ini digunakan untuk menjadikan cerita lebih realistik.
(b) Sudut pandangan orang ketiga tidak terbatas
Kerap digunakan oleh pengarang yang mengisahkan ceritanya melalui watak lain menggunakan kata ganti nama diri ketiga, iaitu dia dan mereka atau lengkap dengan nama. Pengarang bersikap serba tahu dan bebas bercerita untuk mengemukakan emosi, fikiran, dan pergolakan jiwa watak-watak.
(c) Sudut pandangan orang ketiga terbatas
Pengarang tidak menceritakan semua peristiwa atau watak tetapi hanya akan memilih watak-watak tertentu dan penceritaannya tertumpu kepada mereka. Watak-watak lain diceritakan serba sedikit sahaja.
(d) Sudut pandangan objektif
Pengarang hanya menceritakan segala sesuatu yang dilihat dan didengarnya (melapor) dan masih menggunakan kata ganti nama diri ketiga. Bezanya pengarang tidak terlibat dalam cerita. Maka pembaca berpeluang membuat penilaian sendiri terhadap cerita tersebut.

Gaya Bahasa
Jenis Gaya Bahasa Huraiannya
(a) Diksi • Bermaksud pemilihan dan penyusunan kata-kata oleh pengarang daiam karyanya
• Harus memperlihatkan kesesuaian kata yang dipilih dengan tema dan persoalan, latar, watak, dan mesej
(b) Ayat • Merujuk kepada cara pengarang membina dan menyusun ayat daiam karyanya, misalnya ayat pendek dan ayat panjang
(c) Personifikasi • Dikenal juga sebagai perorangan atau penginsanan
• Membawa maksud tindakan pengarang memberikan sifat manusia, sama ada dari segi perasaan, perwatakan, atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang abstrak.
• Contohnya: …matahari pagi bangkit daripada selimut gunung, benaknya mendandan sejuta persoalan
(d) Simile • Merupakan perbandingan yang menggunakan kata konkrit (boleh dihitung) dengan kata abstrak (tidak boleh dihitung)
• Contohnya: perahu duka, ladang kesabaran
(e) Metafora • Merupakan perbandingan secara terus atau langsung tanpa menggunakan kata-kata seperti, bak, umpama, ibarat, dan sebagainya
• Contohnya: samudera hampa, lautan fikiran
(f) Hiperbola • Merupakan sejenis bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud yang sebenarnya
• Contohnya: serihu lautan sanggup diharungi
(g) Sinkope • Bermaksud penyingkatan perkataan
• Contohnya: “Apa dah jadi ni?”
(h) Rima • Bermaksud bunyi akhir suku kata pada tempat yang bersetentang antara dua baris atau lebih daripada dua baris daiam puisi
• Terdiri daripada rima awal, rima dalam, dan rima akhir
(i) Asonansi • Merupakan pengulangan bunyi vokal yang sama dalam baris-baris sajak
• Contohnya: pengulangan vokal “u” dalam baris Kerana aku penyair kupenuhi hidupku
(j) Aliterasi • Bermaksud pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam baris sajak
• Contohnya: pengulangan konsonan m dalam baris Memacu menghimpun kekuatan
(k) Pengulangan • Berlaku pada kata, ungkapan, baris, atau rangkap yang diulang dalam sajak
• anafora – pengulangan kata pada awal baris secara berurutan. Contohnya: Tambah mengimbau sorotan kitab MUHAMMAD ! Tambah mengimbau sorotan kitab ESA !
• epifora – pengulangan kata pada akhir baris. Contohnya: …di pundakku …had sepiku
• repitisi – pengulangan kata dalam baris yang sama. Contohnya, orang berbunga dia berbunga
(l) Perlambangan • merupakan kata-kata yang digunakan untuk menerangkan sesuatu benda, keadaan, atau peristiwa yang membawa maksud yang lain atau maknanya lebih mendalam
• contohnya: senja melambangkan usia tua, pagi melambangkan usia muda

Nilai
Antara contoh nilai ialah:
1. Baik hati
2. Berdikari
3. Hemah tinggi
4. Hormat-menghormati
5. Kasih sayang
6. Keadilan
7. Kebebasan
8. Keberanian
9. Kebersihan mental dan fizikal
10. Kejujuran
11. Kerajinan
12. Kerjasama
13. Kesederhanaan
14. Kesyukuran
15. Rasional
16. Semangat bermasyarakat dan nilai-nilai lain yang bersesuaian.

Pengajaran
Pengajaran ialah peringatan/pedoman/perutusan/amanat/mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam karyanya kepada pembaca/penonton.
Dalam karya tradisional, ia disampaikan secara tersurat/secara langsung tetapi dalam karya moden, ia disampaikan secara tersirat/tidak langsung.
Gunakan nilai sebagai asas untuk menjawab. Jika nilai positif, mulakan ayat jawapan anda dengan
– Kita hendaklah ……..
– Kita seharusnya…….
Jika nilai negatif, mulakan ayat jawapan anda dengan
– Kita jangan….
– Kita tidak boleh….
…diikuti dengan contoh dalam teks.

Karangan Contoh (Pendapat) : Peranan Ibu Bapa

Disember 13, 2009 1 komen

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang. Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, maka anak-anak mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak hingga mencapai kejayaan merupakan tugas yang amat berat dan tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sentiasa memainkan pelbagai peranan untuk memastikan anak-anak cemerlang dalam pelajaran.

Salah satu peranan yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran ialah membesarkan anak-anak dalam suasana yang harmoni dan ceria. Keharmonian dan keceriaan menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertelingkahan antara ibu bapa dan apa-apa jua masalah yang dapat mengganggu keharmonian dan kesejahteraan keluarga. Melalui cara ini, anak-anak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya dalam pelajaran mereka kerana tidak dibebani tekanan yang berat. Dalam hal ini, anak-anak akan dapat berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran mereka kerana mereka hidup dalam keadaan gembira dan seronok pada setiap hari. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Selain itu, ibu bapa juga mestilah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak mereka dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan. Dalam kebanyakan keadaan, anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga merreka sukar untuk membezakan perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan bermasalah, seperti ponteng sekolah, menghisap rokok, dan sebagainya, mereka akan mengikut jejak rakan sebaya mereka itu dan lama-kelamaan mereka tidak berminat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Melalui cara ini, ibu bapa akan dapat menangani sesuatu perkara yang melanda anak mereka lebih awal, bak kata pepatah “ beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.”

Seterusnya, ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan agama dan moral yang cukup. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan kepada anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bertepatan dengan tuntutan pepatah yang menyatakan “melentur buluh biarlah daripada rebungya.” Seruan ini memang betul kerana lazimnya anak-anak sukar dibentuk dan diperbetul setelah mereka melewati usia kanak-kanak. Apatah lagi, seperti kata bijak pandai, anak-anak itu diibaratkan kain putih, jadi ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Jika anak-anak tidak dibentengi dengan pendidikan agama dan moral sejak kecil, mereka dengan mudah akan dibanjiri pelbagai bentuk kejahatan yang akan merosakkan diri mereka. Pendidikan agama dan moral yang baik membolehkan anak-anak menapis dan menepis segala bentuk kemungkaran dan hal ini membantu mereka memperoleh kejayaan dalam pelajaran dengan cemerlang.

Di samping itu, ibu bapa juga hendaklah berbincang dan bertukar-tukar pendapat dengan anak-anak tentang sesuatu perkara atau masalah yang timbul. Ibu bapa juga mestilah sentiasa mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi anak-anak dan tidak menjadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk menjauhi anak-anak. Yang lebih penting, ibu bapa mestilah bersedia untuk menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak. Kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama supaya segala masalah yang ditanggung mereka tidak terperap dan membengkak di dalam hati mereka. Biasanya, ana-anak yang memendam perasaan tidak dapat menumpukan perhatian mereka dalam pelajaran, dan dengan demikian menjadi salah seorang yang tercicir dalam pelajaran. Natijahnya, komunikasi dua hala dan perbincangan antara ibu bapa dengan anak-anak dapat melorongkan mereka ke gerbang kejayaan.

Sebagai kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam membantu kejayaan anak-anak. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya anak-anak terjebak dalam masalah social, keadaan akan menjadi semakin serius dan sukar untuk diselamatkan. Jika ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, mereka sangat sukar untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak, khususnya untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Karangan Contoh (Rencana) : Isu Kemalangan Jalan Raya

Disember 13, 2009 1 komen

Punca-Punca Kemalangan Jalan Raya
Oleh : Nik Tik Hajar Aisyah bt Ismail

“Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat”.

Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.. Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi ‘speed limit’ terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Di sisi itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung menyebabkan kenderaan dikawal secara ‘auto-pilot’ yang akhirnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi apabila statistik menunjukkan bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika berada di jalan raya. Pendek kata, kecuaian pemandu ketika di jalan raya merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya.

Bak kata pepatah Melayu, “kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang” kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas. Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu, jelaslah bahawa kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.

Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjad-jadi juga sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan katak-katak rempit. Tanpa mengira keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti ‘drift and drag’, gaya aerospace dan superman bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya yang kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis sejak tahun 1991 dan merekodkan 79 saman daripada pihak JPJ semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan raya. Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam memakmurkan alam sehingga memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di manakah terletaknya keadilan dan keunggulan undang-undang negara sehinggakan fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.

Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Hal ini secara tidak lansung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika negara Beijing berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah.

Skop dan Cakupan Soalan Peperiksaan BM

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

Bahasa Melayu : Skop Huraian Sukatan Terkini
Penyediaan Bahan dan Cakupan Peperiksaan

Dimensi UPSR
Fokus :-
1. Diri
2. Keluarga
3. Masyarakat
Berbahasa dalam konteks berpengetahuan (tahu atau tidak).

Dimensi PMR
Fokus :-
1. Diri
2. Keluarga
3. Masyarakat
4. Negara
Berbahasa dalam konteks berpengetahuan dan berpendirian

Dimensi SPM
Fokus :-
1. Diri
2. Keluarga
3. Masyarakat
4. Negara
5. Antarabangsa
Berbahasa dalam konteks berpengetahuan, berpendirian, dan berwawasan.