Arkib

Archive for the ‘KARANGAN B : Respon Terbuka’ Category

Karangan Contoh (Pendapat) : Peranan Ibu Bapa

Disember 13, 2009 1 komen

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang. Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, maka anak-anak mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak hingga mencapai kejayaan merupakan tugas yang amat berat dan tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sentiasa memainkan pelbagai peranan untuk memastikan anak-anak cemerlang dalam pelajaran.

Salah satu peranan yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran ialah membesarkan anak-anak dalam suasana yang harmoni dan ceria. Keharmonian dan keceriaan menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertelingkahan antara ibu bapa dan apa-apa jua masalah yang dapat mengganggu keharmonian dan kesejahteraan keluarga. Melalui cara ini, anak-anak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya dalam pelajaran mereka kerana tidak dibebani tekanan yang berat. Dalam hal ini, anak-anak akan dapat berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran mereka kerana mereka hidup dalam keadaan gembira dan seronok pada setiap hari. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Selain itu, ibu bapa juga mestilah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak mereka dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan. Dalam kebanyakan keadaan, anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga merreka sukar untuk membezakan perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan bermasalah, seperti ponteng sekolah, menghisap rokok, dan sebagainya, mereka akan mengikut jejak rakan sebaya mereka itu dan lama-kelamaan mereka tidak berminat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Melalui cara ini, ibu bapa akan dapat menangani sesuatu perkara yang melanda anak mereka lebih awal, bak kata pepatah “ beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.”

Seterusnya, ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan agama dan moral yang cukup. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan kepada anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bertepatan dengan tuntutan pepatah yang menyatakan “melentur buluh biarlah daripada rebungya.” Seruan ini memang betul kerana lazimnya anak-anak sukar dibentuk dan diperbetul setelah mereka melewati usia kanak-kanak. Apatah lagi, seperti kata bijak pandai, anak-anak itu diibaratkan kain putih, jadi ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Jika anak-anak tidak dibentengi dengan pendidikan agama dan moral sejak kecil, mereka dengan mudah akan dibanjiri pelbagai bentuk kejahatan yang akan merosakkan diri mereka. Pendidikan agama dan moral yang baik membolehkan anak-anak menapis dan menepis segala bentuk kemungkaran dan hal ini membantu mereka memperoleh kejayaan dalam pelajaran dengan cemerlang.

Di samping itu, ibu bapa juga hendaklah berbincang dan bertukar-tukar pendapat dengan anak-anak tentang sesuatu perkara atau masalah yang timbul. Ibu bapa juga mestilah sentiasa mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi anak-anak dan tidak menjadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk menjauhi anak-anak. Yang lebih penting, ibu bapa mestilah bersedia untuk menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak. Kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama supaya segala masalah yang ditanggung mereka tidak terperap dan membengkak di dalam hati mereka. Biasanya, ana-anak yang memendam perasaan tidak dapat menumpukan perhatian mereka dalam pelajaran, dan dengan demikian menjadi salah seorang yang tercicir dalam pelajaran. Natijahnya, komunikasi dua hala dan perbincangan antara ibu bapa dengan anak-anak dapat melorongkan mereka ke gerbang kejayaan.

Sebagai kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam membantu kejayaan anak-anak. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya anak-anak terjebak dalam masalah social, keadaan akan menjadi semakin serius dan sukar untuk diselamatkan. Jika ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, mereka sangat sukar untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak, khususnya untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Karangan Contoh (Rencana) : Isu Kemalangan Jalan Raya

Disember 13, 2009 1 komen

Punca-Punca Kemalangan Jalan Raya
Oleh : Nik Tik Hajar Aisyah bt Ismail

“Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat”.

Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.. Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi ‘speed limit’ terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Di sisi itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung menyebabkan kenderaan dikawal secara ‘auto-pilot’ yang akhirnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi apabila statistik menunjukkan bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika berada di jalan raya. Pendek kata, kecuaian pemandu ketika di jalan raya merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya.

Bak kata pepatah Melayu, “kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang” kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas. Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu, jelaslah bahawa kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.

Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjad-jadi juga sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan katak-katak rempit. Tanpa mengira keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti ‘drift and drag’, gaya aerospace dan superman bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya yang kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis sejak tahun 1991 dan merekodkan 79 saman daripada pihak JPJ semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan raya. Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam memakmurkan alam sehingga memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di manakah terletaknya keadilan dan keunggulan undang-undang negara sehinggakan fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.

Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Hal ini secara tidak lansung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika negara Beijing berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah.

Skop dan Cakupan Soalan Peperiksaan BM

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

Bahasa Melayu : Skop Huraian Sukatan Terkini
Penyediaan Bahan dan Cakupan Peperiksaan

Dimensi UPSR
Fokus :-
1. Diri
2. Keluarga
3. Masyarakat
Berbahasa dalam konteks berpengetahuan (tahu atau tidak).

Dimensi PMR
Fokus :-
1. Diri
2. Keluarga
3. Masyarakat
4. Negara
Berbahasa dalam konteks berpengetahuan dan berpendirian

Dimensi SPM
Fokus :-
1. Diri
2. Keluarga
3. Masyarakat
4. Negara
5. Antarabangsa
Berbahasa dalam konteks berpengetahuan, berpendirian, dan berwawasan.

Tujuan Pengujian dan Penilaian BM 1103/1

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

Tujuan pengujian :

1. Membina, mengumpul, memilih dan menyusun atur idea-idea, hujah-hujah dan bahan-bahan yang berkaitan dengan tajuk karangan.
2. Melahirkan idea, pendapat, hujah, pengalaman dan perasaan dengan bahasa yang jelas dan berkesan.
3. Menguasai teknik mengarang pelbagai bentuk karangan dan menggunakannya untuk pelbagai tujuan, menguasai penggunaan perenggan-perenggan dan tanda-tanda baca pada tempat-tempat dan keadaan yang sesuai.
4. Menulis dengan bahasa yang kemas, lancar dan jelas, struktur ayat yang betul dan gaya bahasa yang menarik serta bersesuaian dengan tajuk karangan.

Tertib Mengarang

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

1. Prapenulisan :

a. Memilih Soalan/Tajuk (Penting !!!)
Baca setiap soalan dengan teliti.
Pilih soalan yang sesuai dan “mudah/senang.”
dapat mengemukakan sekurang-kurangnya tiga isi (sebaik-baiknya empat)
telah dibuat/diajar.
Pemahaman, pengetahuan dan keupayaan untuk mengembangkan isi.

b. Menganalisis Soalan/Tajuk
Mengenal pasti “kata kunci” soalan.
Apa isu ? Konsep, istilah dsb seperti jenayah juvana, vandalisme, lebuh raya.
Skop isu ? diri, keluarga, masyarakat dan negara, antara bangsa dan komsas.
Kehendak / Tugasan soalan ? Bentuk /Arahan soalan dan format jawapan.
Bahagian soalan ?

c. Merangka isi
Kepentingan :
i. Mengelak kebuntuan idea semasa menulis.
ii. Penyusunan isi mengikut keutamaan.

Rangka kasar mengikut aspek-aspek berikut :-
Institusi keluarga (didikan agama, penerapan nilai-nilai murni dan pembentukan sahsiah , kasih sayang, keruntuhan, penceraian, pengabaian)
Rakan sebaya.(peranan ibu bapa, “role model”, identiti , pembentukan sahsiah dan jati diri, contoh dan peniruan, mempengaruhi)
Kerajaan (penguatkuasaan undang-undang, hukuman, agensi-agensi, kempen)
Sekolah. (pembentukan sahsiah, penerapan nilai murni, disiplin, bimbingan dan kaunseling)
Masyarakat.(materialistik , individualistik , tebal dengan adat kesopanan dan budaya, pembentukan jati diri, mempengaruhi)
Individu ( jati diri, penghayatan agama, matlamat dan prinsip hidup, “role model”, pengaruh, terabai”
Swasta (kempen, media massa, syarikat-syarikat yang terlibat, program-program)
Ekonomi (jimat-cermat, pembaziran, pengaliran wang masuk/keluar, kewujudan industri sampingan, pendapatan, inflasi,pengangguran, peluang pekerjaan)
Sosial (gejala sosial, keruntuhan akhlak, jenayah, kesihatan,penyakit, kebersihan, keselamatan negara, setinggan)

Cerita/Cerpen/Imaginasi
1. Permulaan/Eksposisi
2. Pengembangan/Konflik
3. Ketegangan/klimaks
4. Peleraian

2. Penulisan
a. Pemerincian
b. Pemerengganan
c. Penjalinan – penanda wacana
d. Penataan format
e. Penggunaan bahasa/Penataan laras bahasa
f. Pengolahan

3. Prapenulisan
a. Menyemak isi
b. Pengeditan bahasa(ejaan/tanda baca)
c. Menyemak format

Perenggan Pendahuluan yang Menarik dan Berkesan

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

Karangan cemerlang semestinya dimulakan oleh pendahuluan yang menarik.
Bagaimana cara menulis pendahuluan yang menarik?

Menulis pendahuluan
1. Fungsi dan kepentingan :

a. Komponen karangan yang harus ditulis dengan menarik berkesan untuk merangsang “impression” pemeriksa/ berfungsi sebagai denak.
b. Item utama yamhg menjadi asas penilaian. Kedudukannya seperti wajah/muka kepada seseorang.
c. Kebulatan/kemantapan karangan terungkap pada peranggan pendahuluan.
Pendahuluan berfungsi untuk membayangkan perkara/isi yang akan dihuraikan seterusnya.

2. Cara atau langkah penulisan pendahuluan;

a. Perlu menyentuh isu yang diperkatakan secara umum.
b. Jangan sesekali menulis isi dalam perenggan pendahuluan.
c. Kaitkan peristiwa dan situasi semasa yang relevan.
d. Mencetuskan isu “pro” atau “kontra”, impak dan implikasi supaya lebih menarik.
e. Pendirian pelajar harus terakam pada bahagian pendahuluan.
f. Seelok-eloknya, kehendak soalan terungkap pada ayat terakhir perenggan pendahuluan.

Contoh

Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu,kita perlulah menjaga kesihatan agar berada dalam keadaan yang baik. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk menjaga kesihatan diri.

Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah orang, nikmat kesihatan hanya disedari apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang membeli ubat dan makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Tambahan pula, pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran sekarang seperti “Cendawan tumbuh selepas hujan”. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini dalam kehidupan, beberapa langkah perlu diambil agar kesihatan kita terjamin. (90 pk)

Perenggan Isi yang Mantap

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

Karangan cemerlang semestinya dimulakan dengan pendahuluan yang menarik dan berkesan.
Karangan ini pula disusuli dengan perenggan isi yang mantap.
Bagaimana menulis perenggan isi yang mantap?

Menulis perenggan isi.

1.Kepentingan Perenggan Isi

a. Fokus terpenting dalam sesebuah karangan
b. Bahagian terbesar (80 %) dan utama dalam penulisan.
c. Konsep isi dan penyampaian merupakan unsure yang terpenting
d. Aspek pemerincian, pemerengganan, penjalinan, penataan format,
dan pengolahan akan tergambar dalam perenggan isi.

2. Cara Menulis Perenggan Isi

a. Ayat judul / ayat isi.
Kehendak soalan + isi karangan
Tepat, jelas, padat, konkrit
Jangan gabungkan dengan huraian dan contoh.

b. Pengembangan isi.
Huraian, bahasan, fakta, contoh, data
4W + 1H; Apa? Siapa? Mengapa? Bila? Bagaimana?

c. Ayat penegas isi.
(rujuk ayat judul)

d. Penanda wacana.
i. jenis penghubung – berfungsi untuk memberikan penegasan terhadap sesuatu isi. Contohnya; tetapi, serta, lalu,agar, sungguhpun, disebabkan, walaupun, supaya, demi, bersifat demikian kerana, jika.

ii. jenis penambahan – berfungsi untuk menunjukkan tambahan isi. Contohnya di samping itu, tambahan pula, seterusnya, juga , sekali lagi, bertitik tolak, lebih-lebih lagi, begitu juga, sebab lain, hal ini, sebenarnya, selain itu.

iii.jenis perbandingan / perbezaan – berfungsi memandu pembaca daripada satu idea kepada idea yang sebaliknya. Contohnya; satu sebab utama, yang lebih penting, selari dengan, berbeza dengan, namun demikian, walau bagaimanapun, dalam nada yang berbeza, jika dibandingkan dengan, setelah, sehubungan dengan itu, dibandingkan dengan.

iv. jenis turutan – berfungsi menegaskan pertautan idea yang memerlukan lebih hujah. Contohnya; pertama sekali, selepas itu, lebih awal daripada itu, keduanya, yang lebih penting lagi, kemudiannya.

v. jenis misalan – berfungsi menunjukkan contoh atau ilustrasi. Contohnya; contohnya, seperti mana, yang dimaksudkan, khususnya,biar kita ambil contoh, misalnya, umpamanya.

vi. jenis kesimpulan / rumusan – berfungsi mengajak pembaca bersetuju/tidak bersetuju atau sekurang-kurangnya pembaca turut sama memikirkan apa-apa yang telah anda tulis. Contohnya; oleh itu, jelaslah, jika tidak, pendek kata, akibat, maknanya ialah, ringkasnya ialah, oleh sebab itu, demikianlah, betapakah nanti, kesimpulannya, dapatlah dirumuskan , justeru , sekiranya tidak, dalam perkataan lain, sebagai menggulung, pada keseluruhannya, oleh yang demikian,hal itu bermaksud, banyak pihak berpendapat, selaras dengan itu, sementelah pula, lazimnya

Contoh
Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu,kita perlulah menjaga kesihatan
agar berada dalam keadaan yang baik. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk menjaga kesihatan diri.

Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah hendaklah bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu kempen “Jumpa Sampah Kutip” dan kempen “Memerangi LILATI (lipas,lalat dan tikus).” Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau dibuang di tempat khas. Pasu-pasu bunga dan longkang perlu diperiksa agar air tidak bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit bawaan vektor seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga kebersihan persekitaran merupakan langkah asas untuk kita semua ke arah mencapai tahap kesihatan yang optimum. (131pk)

Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan, seseorang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam keadaan sihat dan dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, “Mencegah lebih baik daripada mengubatinya”. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini, keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti peribahasa,“Cegah sebelum parah”. Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita secara berdisiplin menjalani pemeriksaan kesihatan diri di hospital-hospital secara berjadual. (123 pk)

Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang amalan pemakanan iaitu “What you are, is what you eat”. Boleh dikatakan seseorang yang mengamalkan pemakanan yang seimbang akan memperoleh kesihatan yang baik. Mengamalkan pemakanan seimbang bermakna seseorang mengambil makanan yang berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh badan seseorang. Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia, pekerjaan dan keperluan-keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih kalsium berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas, seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan minuman bergas perlu dielakkan kerana boleh memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai tahap kesihatan adalah dengan mengamalkan diet makanan seimbang. (135pk)

Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah. Amalan riadah seperti berenang, jogging, menunggang basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik untuk kesihatan. Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30 minit dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan istiqamah sesuai dengan peribahasa, “Alah bisa tegal biasa.” Dengan melakukan kegiatan riadah, otot-otot tubuh akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah baik. Di samping itu, seseorang dapat menghirup udara segar semasa melakukan senaman di taman-taman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau stress selepas seharian penat bekerja di pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan kegiatan senaman secara untuk memperoleh kesihatan yang baik. (134 pk)

Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan hidup yang negatif telah menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang negatif ialah amalan seks rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan dadah dan pil-pil khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya. Begitu juga amalan merokok yang masih menjadi sebahagian cara hidup muda-mudi dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen “Katakan Tak Nak Pada Rokok” giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan mengundang penyakit seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lain-lain. Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat berdasarkan norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah kepada cara hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana kempen “Gaya Hidup Sihat” yang diuar-uarkan oleh kerajaan. (132pk)

Perenggan Penutup yang Menarik dan Berkesan

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

Bagaimana membina perenggan penutup yang menarik dan berkesan?

Menulis penutup.

1. Fungsi dan Kepentingan
a. Merumus keseluruhan karangan
b. Pelengkap kepada karangan seperti mana fungsi pendahuluan
c. Sentuhan terakhir dalam penulisan yang akan meninggalkan “bekas” kepada pemeriksa.

2. Cara Menulis Perenggan Penutup
a. Penanda wacana
b. Kembali kepada isu/tema/tajuk
c. Mengulas isi secara ringkas/merumus isi secara umum.
d. Komentar/Cadangan/Nasihat/Harapan/Cogan Kata/pantun/Kata-kata hikmat/Slogan yang telah kukuh dan utuh.

Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu,kita perlulah menjaga kesihatan
agar berada dalam keadaan yang baik. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk menjaga kesihatan diri.

Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik. Antaranya, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan yang berkualiti. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogan, “Rakyat Sihat Negara Sejahtera”. (70pk)

Penataan Format Karangan

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

Karangan berformat memerlukan penataan format yang betul dan tepat untuk mendapatkan markah yang baik.
Jika berlaku kesalahan format, 2 markah maksimum akan ditolak daripada markah keseluruhan karangan tersebut.

1. SURAT KIRIMAN RASMI

Format(2 markah dipotong jika tiada…)
Alamat 1m
Menghadap surat 1m
Tarikh 1m
Tajuk./perkara 1m
Perenggan 1m
Penutup 1m
tanda tangan 1m
Alamat/ t.t di sebelah kanan 2m
Surat tidak rasmi 2m
Campur aduk s.t.rasmi 2m

Diharap: Pelajar dapat menulis surat rasmi kepada penerima seperti yang ditetapkan dalam soalan tentang “takrif terhadap tajuk”

Kemungkinan :
calon tidak mengembangkan isi dan menyertakan contoh yang sesuai.
karangan terlalu pendek.

2. SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

Format(2markah dipotong jika tiada…)
Alamat 1m
Tarikh 1m
Menghadap surat 1m
Perenggan 1m
Penutup 1m
tanda tangan 1m
Alamat/ t.t di sebelah kiri 2m

Diharap: Pelajar dapat menulis surat tidak rasmi kepada penerima seperti yang ditetapkan dalam soalan tentang “takrif terhadap tajuk”

Kemungkinan :
pelajar menggunakan kata-kata singkat seperti”dah,nak,tu,ni” dan seumpamanya..
unsur bahasa pasar ketara dalam penulisan pelajar.

3. CERAMAH/UCAPAN/SYARAHAN PIDATO

Format(2 markah dipotong jika tiada…)
Menghadap ucapan(aluan) 2m
Menghadap ucapan(tengah) 1m
Penutup 1m

Diharap: Pelajar dapat mengemukakan hujah-hujah seperti yang ditetapkan dalam soalan tentang “takrif terhadap tajuk”

Kemungkinan :
Unsur-unsur bahasa lisan tidak rasmi ketara dalam penulisan pelajar.
Pelajar banyak menggunakan kata-kata singkat.

4.PERBAHASAN

Format(2 markah dipotong jika tiada…)
Menghadap ucapan(aluan) 2m
Menghadap ucapan(tengah) 1m
Penutup 1m

Diharap:
Pelajar hanya menyokong atau membangkang tajuk yang ditetapkan oleh soalan. Jika sebaliknya, karangan dianggap terpesong isi.
Pembahas pertama dihendaki menyatakan definisi tajuk, sementara pembahas kedua dan ketiga atau penggulung mesti ada bidasan.

Kemungkinan :
Pelajar mengabaikan definisi atau bidasan
Unsur-unsur bahasa lisan tidak rasmi ketara dalam penulisan pelajar.

5.RENCANA

Format(2 markah dipotong jika tiada…)
Tajuk 1m
Pelapor 1m
(Nama pelapor)

Diharap:
Pelajar dapat menulis rencana tentang perkara/peristiwa yang ditetapkan dalam soalan.

Kemungkinan :
Pelajar menulis dengan menggunakan format lain – karangan diterima tetapi tolak kesalahan bahasa.

6.LAPORAN

Format(2 markah dipotong jika tiada…)
Tajuk 1m
Pelapor 1m
(Nama pelapor)

Diharap:
Pelajar dapat menulis laporan tentang perkara/peristiwa yang ditetapkan dalam soalan.

Kemungkinan :
Pelajar menulis dengan menggunakan format lain – karangan diterima tetapi tolak kesalahan bahasa.

7.WAWANCARA

Format(2 markah dipotong jika tiada…)
Tajuk/pendahuluan 1m
Bentuk wawancara 1m

Diharap :
Penulisan dialog dan tidak seperti cakap ajuk. Pembuka dan penutup kata tidak digunakan.
Laras bahasa perbualan dalam situasi rasmi.
Bahasa yang digunakan bahasa baku sepenuhnya.
Wawancara hendaklah tentang perkara yang ditetapkan dalam soalan.

Kemungkinan :
Pelajar menggunakan bahasa pasar.
Isi-isi tidak dikembangkan sehingga karangan menjadi “catatan sesi soal jawab)

8. MENGULAS BUKU/CERPEN DLL

Format(2 markah dipotong jika tiada…)
Tajuk/Judul Buku 1m
Penulis 1m
Pengulas 1m
Penerbit 1m

Diharap:
a. Pendahuluan : Sinopsis buku (secara ringkas)
b. Isi-isi jawapan : Sekurang-kurangnya tiga drp perkara berikut :
Tema
Persoalan
Pengajaran
Teknik penulisan
Latar tempat/masa/masyarakat
Aspek kesusasteran/penulisan
lain

Kemungkinan : Sinopsis ditulis sebagai isi karangan – diterima

Karangan Bahagian B : Isu Kesihatan

Disember 13, 2009 1 komen

Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu,kita perlulah menjaga kesihatan agar berada dalam keadaan yang baik. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk menjaga kesihatan diri.

Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah orang, nikmat kesihatan hanya disedari apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang membeli ubat dan makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Tambahan pula, pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran sekarang seperti “Cendawan tumbuh selepas hujan”. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini dalam kehidupan, beberapa langkah perlu diambil agar kesihatan kita terjamin. (90 pk)

Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah hendaklah bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu kempen “Jumpa Sampah Kutip” dan kempen “Memerangi LILATI (lipas,lalat dan tikus).” Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau dibuang di tempat khas. Pasu-pasu bunga dan longkang perlu diperiksa agar air tidak bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit bawaan vektor seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga kebersihan persekitaran merupakan langkah asas untuk kita semua ke arah mencapai tahap kesihatan yang optimum. (131pk)

Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan, seseorang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam keadaan sihat dan dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, “Mencegah lebih baik daripada mengubatinya”. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini, keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti peribahasa,“Cegah sebelum parah”. Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita secara berdisiplin menjalani pemeriksaan kesihatan diri di hospital-hospital secara berjadual. (123 pk)

Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang amalan pemakanan iaitu “What you are, is what you eat”. Boleh dikatakan seseorang yang mengamalkan pemakanan yang seimbang akan memperoleh kesihatan yang baik. Mengamalkan pemakanan seimbang bermakna seseorang mengambil makanan yang berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh badan seseorang. Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia, pekerjaan dan keperluan-keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih kalsium berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas, seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan minuman bergas perlu dielakkan kerana boleh memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai tahap kesihatan adalah dengan mengamalkan diet makanan seimbang. (135pk)

Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah. Amalan riadah seperti berenang, jogging, menunggang basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik untuk kesihatan. Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30 minit dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan istiqamah sesuai dengan peribahasa, “Alah bisa tegal biasa.” Dengan melakukan kegiatan riadah, otot-otot tubuh akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah baik. Di samping itu, seseorang dapat menghirup udara segar semasa melakukan senaman di taman-taman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau stress selepas seharian penat bekerja di pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan kegiatan senaman secara untuk memperoleh kesihatan yang baik. (134 pk)

Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan hidup yang negatif telah menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang negatif ialah amalan seks rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan dadah dan pil-pil khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya. Begitu juga amalan merokok yang masih menjadi sebahagian cara hidup muda-mudi dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen “Katakan Tak Nak Pada Rokok” giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan mengundang penyakit seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lain-lain. Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat berdasarkan norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah kepada cara hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana kempen “Gaya Hidup Sihat” yang diuar-uarkan oleh kerajaan. (132pk)

Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik. Antaranya, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan yang berkualiti. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogan, “Rakyat Sihat Negara Sejahtera”. (70pk)

Berapakah markah yang anda berikan untuk karangan ini ?

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.