Rumah > KARANGAN, KARANGAN B : Respon Terbuka > Karangan Bahagian B : Isu Kesihatan

Karangan Bahagian B : Isu Kesihatan


Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu,kita perlulah menjaga kesihatan agar berada dalam keadaan yang baik. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk menjaga kesihatan diri.

Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah orang, nikmat kesihatan hanya disedari apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang membeli ubat dan makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Tambahan pula, pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran sekarang seperti “Cendawan tumbuh selepas hujan”. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini dalam kehidupan, beberapa langkah perlu diambil agar kesihatan kita terjamin. (90 pk)

Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah hendaklah bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu kempen “Jumpa Sampah Kutip” dan kempen “Memerangi LILATI (lipas,lalat dan tikus).” Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau dibuang di tempat khas. Pasu-pasu bunga dan longkang perlu diperiksa agar air tidak bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit bawaan vektor seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga kebersihan persekitaran merupakan langkah asas untuk kita semua ke arah mencapai tahap kesihatan yang optimum. (131pk)

Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan, seseorang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam keadaan sihat dan dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, “Mencegah lebih baik daripada mengubatinya”. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini, keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti peribahasa,“Cegah sebelum parah”. Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita secara berdisiplin menjalani pemeriksaan kesihatan diri di hospital-hospital secara berjadual. (123 pk)

Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang amalan pemakanan iaitu “What you are, is what you eat”. Boleh dikatakan seseorang yang mengamalkan pemakanan yang seimbang akan memperoleh kesihatan yang baik. Mengamalkan pemakanan seimbang bermakna seseorang mengambil makanan yang berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh badan seseorang. Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia, pekerjaan dan keperluan-keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih kalsium berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas, seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan minuman bergas perlu dielakkan kerana boleh memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai tahap kesihatan adalah dengan mengamalkan diet makanan seimbang. (135pk)

Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah. Amalan riadah seperti berenang, jogging, menunggang basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik untuk kesihatan. Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30 minit dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan istiqamah sesuai dengan peribahasa, “Alah bisa tegal biasa.” Dengan melakukan kegiatan riadah, otot-otot tubuh akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah baik. Di samping itu, seseorang dapat menghirup udara segar semasa melakukan senaman di taman-taman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau stress selepas seharian penat bekerja di pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan kegiatan senaman secara untuk memperoleh kesihatan yang baik. (134 pk)

Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan hidup yang negatif telah menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang negatif ialah amalan seks rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan dadah dan pil-pil khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya. Begitu juga amalan merokok yang masih menjadi sebahagian cara hidup muda-mudi dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen “Katakan Tak Nak Pada Rokok” giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan mengundang penyakit seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lain-lain. Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat berdasarkan norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah kepada cara hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana kempen “Gaya Hidup Sihat” yang diuar-uarkan oleh kerajaan. (132pk)

Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik. Antaranya, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan yang berkualiti. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogan, “Rakyat Sihat Negara Sejahtera”. (70pk)

Berapakah markah yang anda berikan untuk karangan ini ?

About these ads
  1. Ogos 24, 2010 at 4:15 am | #1

    salam, terima kasih….cikgu harap saudara boleh baiki karangan ini agar menjadi baik…..

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: