Arkib

Archive for the ‘KARANGAN’ Category

KARANGAN CONTOH : ISU VANDALISME

Disember 13, 2009 2 comments

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME

Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan ‘vandalisme’. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menangani masalah ini? (82 patah perkataan)

Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”. (100 patah perkataan)

Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. (81 patah perkataan)

Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. (93 patah perkataan)

Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah’.(78 patah perkataan)

KARANGAN CONTOH : BAHAN RANGSANGAN (Isu Patriotisme)

Disember 13, 2009 1 komen

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK

Dewasa ini, golongan remaja dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik.(IU) Isu yang mencetuskan polemik dalam kalangan media massa saban hari ini pantas meniti dari bibir ke bibir. Remaja acap kali dikaitkan dengan kebejatan sosial dan budaya hedonistik yang begitu cepat merebak umpama virus epidemik.(UI) Maka, prakarsa yang pragmatik perlu diambil demi memastikan api semangat patriotik dalam kalangan remaja tidak terpadam dan lenyap begitu sahaja sebelum nasi menjadi bubur.(KS)(67 patah perkataan)

Antara langkah dominan bagi menyuburkan semangat patriotik adalah dengan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan.(AI) Program yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu ini sememangnya mempunyai pelbagai maslahat yang amat berguna. Hal ini demikian kerana tentatif program tersebut dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotik seperti latihan kawat kaki, kursus menembak, dan aktiviti berkumpulan.(H/C) Melalui aktiviti – aktiviti ini, pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati.(H/F) Hal ini dapat memupuk perpaduan yang merupakan elemen penting dalam semangat patriotik, bak kata pepatah, ’bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.(H/F)(100 patah perkatan)

Di samping itu, tokoh-tokoh yang berjasa dan telah banyak menabur bakti kepada negara sewajarnya dikenali dan dihargai.(AI) Tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong dapat menjadi inspirasi dan idola para remaja.(H/C) Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja dan ’tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ agar tidak menjadi lipatan sejarah semata-mata.(H) Para remaja perlulah mengimplementasikan semangat patriotik ke arah yang positif seperti belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras memajukan negara, dan memartabatkan nama negara sehingga Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.(H)(104 patah perkataan)

Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik amat penting demi kelangsungan negara kita pada masa hadapan.(KI) Tanpanya negara hanya gah pada pandangan zahir tetapi pada hakikatnya kosong dan rapuh. Para remaja digalakkan menyertai PLKN dan membaca kehidupan tokoh-tokoh pejuang bangsa bagi menyuburkan kecintaan kepada negara.(RI) Pendek kata, ”Negara Kita Tanggungjawab Kita” tema hari kemerdekaan akan direalisasikan oleh warga yang patriotik. Ayuh para remaja, hidup suburkanlah semangat patriotik ke dalam diri kita semua !(H)(69 patah kata)

Karangan Contoh (Pendapat) : Peranan Ibu Bapa

Disember 13, 2009 1 komen

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang. Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, maka anak-anak mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak hingga mencapai kejayaan merupakan tugas yang amat berat dan tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sentiasa memainkan pelbagai peranan untuk memastikan anak-anak cemerlang dalam pelajaran.

Salah satu peranan yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran ialah membesarkan anak-anak dalam suasana yang harmoni dan ceria. Keharmonian dan keceriaan menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertelingkahan antara ibu bapa dan apa-apa jua masalah yang dapat mengganggu keharmonian dan kesejahteraan keluarga. Melalui cara ini, anak-anak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya dalam pelajaran mereka kerana tidak dibebani tekanan yang berat. Dalam hal ini, anak-anak akan dapat berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran mereka kerana mereka hidup dalam keadaan gembira dan seronok pada setiap hari. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Selain itu, ibu bapa juga mestilah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak mereka dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan. Dalam kebanyakan keadaan, anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga merreka sukar untuk membezakan perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan bermasalah, seperti ponteng sekolah, menghisap rokok, dan sebagainya, mereka akan mengikut jejak rakan sebaya mereka itu dan lama-kelamaan mereka tidak berminat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Melalui cara ini, ibu bapa akan dapat menangani sesuatu perkara yang melanda anak mereka lebih awal, bak kata pepatah “ beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.”

Seterusnya, ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan agama dan moral yang cukup. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan kepada anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bertepatan dengan tuntutan pepatah yang menyatakan “melentur buluh biarlah daripada rebungya.” Seruan ini memang betul kerana lazimnya anak-anak sukar dibentuk dan diperbetul setelah mereka melewati usia kanak-kanak. Apatah lagi, seperti kata bijak pandai, anak-anak itu diibaratkan kain putih, jadi ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Jika anak-anak tidak dibentengi dengan pendidikan agama dan moral sejak kecil, mereka dengan mudah akan dibanjiri pelbagai bentuk kejahatan yang akan merosakkan diri mereka. Pendidikan agama dan moral yang baik membolehkan anak-anak menapis dan menepis segala bentuk kemungkaran dan hal ini membantu mereka memperoleh kejayaan dalam pelajaran dengan cemerlang.

Di samping itu, ibu bapa juga hendaklah berbincang dan bertukar-tukar pendapat dengan anak-anak tentang sesuatu perkara atau masalah yang timbul. Ibu bapa juga mestilah sentiasa mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi anak-anak dan tidak menjadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk menjauhi anak-anak. Yang lebih penting, ibu bapa mestilah bersedia untuk menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak. Kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama supaya segala masalah yang ditanggung mereka tidak terperap dan membengkak di dalam hati mereka. Biasanya, ana-anak yang memendam perasaan tidak dapat menumpukan perhatian mereka dalam pelajaran, dan dengan demikian menjadi salah seorang yang tercicir dalam pelajaran. Natijahnya, komunikasi dua hala dan perbincangan antara ibu bapa dengan anak-anak dapat melorongkan mereka ke gerbang kejayaan.

Sebagai kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam membantu kejayaan anak-anak. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya anak-anak terjebak dalam masalah social, keadaan akan menjadi semakin serius dan sukar untuk diselamatkan. Jika ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, mereka sangat sukar untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak, khususnya untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Karangan Contoh (Rencana) : Isu Kemalangan Jalan Raya

Disember 13, 2009 1 komen

Punca-Punca Kemalangan Jalan Raya
Oleh : Nik Tik Hajar Aisyah bt Ismail

“Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat”.

Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.. Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi ‘speed limit’ terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Di sisi itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung menyebabkan kenderaan dikawal secara ‘auto-pilot’ yang akhirnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi apabila statistik menunjukkan bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika berada di jalan raya. Pendek kata, kecuaian pemandu ketika di jalan raya merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya.

Bak kata pepatah Melayu, “kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang” kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas. Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu, jelaslah bahawa kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.

Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjad-jadi juga sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan katak-katak rempit. Tanpa mengira keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti ‘drift and drag’, gaya aerospace dan superman bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya yang kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis sejak tahun 1991 dan merekodkan 79 saman daripada pihak JPJ semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan raya. Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam memakmurkan alam sehingga memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di manakah terletaknya keadilan dan keunggulan undang-undang negara sehinggakan fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.

Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Hal ini secara tidak lansung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika negara Beijing berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah.

Skop dan Cakupan Soalan Peperiksaan BM

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

Bahasa Melayu : Skop Huraian Sukatan Terkini
Penyediaan Bahan dan Cakupan Peperiksaan

Dimensi UPSR
Fokus :-
1. Diri
2. Keluarga
3. Masyarakat
Berbahasa dalam konteks berpengetahuan (tahu atau tidak).

Dimensi PMR
Fokus :-
1. Diri
2. Keluarga
3. Masyarakat
4. Negara
Berbahasa dalam konteks berpengetahuan dan berpendirian

Dimensi SPM
Fokus :-
1. Diri
2. Keluarga
3. Masyarakat
4. Negara
5. Antarabangsa
Berbahasa dalam konteks berpengetahuan, berpendirian, dan berwawasan.

Tujuan Pengujian dan Penilaian BM 1103/1

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

Tujuan pengujian :

1. Membina, mengumpul, memilih dan menyusun atur idea-idea, hujah-hujah dan bahan-bahan yang berkaitan dengan tajuk karangan.
2. Melahirkan idea, pendapat, hujah, pengalaman dan perasaan dengan bahasa yang jelas dan berkesan.
3. Menguasai teknik mengarang pelbagai bentuk karangan dan menggunakannya untuk pelbagai tujuan, menguasai penggunaan perenggan-perenggan dan tanda-tanda baca pada tempat-tempat dan keadaan yang sesuai.
4. Menulis dengan bahasa yang kemas, lancar dan jelas, struktur ayat yang betul dan gaya bahasa yang menarik serta bersesuaian dengan tajuk karangan.

Tertib Mengarang

Disember 13, 2009 Tinggalkan komen

1. Prapenulisan :

a. Memilih Soalan/Tajuk (Penting !!!)
Baca setiap soalan dengan teliti.
Pilih soalan yang sesuai dan “mudah/senang.”
dapat mengemukakan sekurang-kurangnya tiga isi (sebaik-baiknya empat)
telah dibuat/diajar.
Pemahaman, pengetahuan dan keupayaan untuk mengembangkan isi.

b. Menganalisis Soalan/Tajuk
Mengenal pasti “kata kunci” soalan.
Apa isu ? Konsep, istilah dsb seperti jenayah juvana, vandalisme, lebuh raya.
Skop isu ? diri, keluarga, masyarakat dan negara, antara bangsa dan komsas.
Kehendak / Tugasan soalan ? Bentuk /Arahan soalan dan format jawapan.
Bahagian soalan ?

c. Merangka isi
Kepentingan :
i. Mengelak kebuntuan idea semasa menulis.
ii. Penyusunan isi mengikut keutamaan.

Rangka kasar mengikut aspek-aspek berikut :-
Institusi keluarga (didikan agama, penerapan nilai-nilai murni dan pembentukan sahsiah , kasih sayang, keruntuhan, penceraian, pengabaian)
Rakan sebaya.(peranan ibu bapa, “role model”, identiti , pembentukan sahsiah dan jati diri, contoh dan peniruan, mempengaruhi)
Kerajaan (penguatkuasaan undang-undang, hukuman, agensi-agensi, kempen)
Sekolah. (pembentukan sahsiah, penerapan nilai murni, disiplin, bimbingan dan kaunseling)
Masyarakat.(materialistik , individualistik , tebal dengan adat kesopanan dan budaya, pembentukan jati diri, mempengaruhi)
Individu ( jati diri, penghayatan agama, matlamat dan prinsip hidup, “role model”, pengaruh, terabai”
Swasta (kempen, media massa, syarikat-syarikat yang terlibat, program-program)
Ekonomi (jimat-cermat, pembaziran, pengaliran wang masuk/keluar, kewujudan industri sampingan, pendapatan, inflasi,pengangguran, peluang pekerjaan)
Sosial (gejala sosial, keruntuhan akhlak, jenayah, kesihatan,penyakit, kebersihan, keselamatan negara, setinggan)

Cerita/Cerpen/Imaginasi
1. Permulaan/Eksposisi
2. Pengembangan/Konflik
3. Ketegangan/klimaks
4. Peleraian

2. Penulisan
a. Pemerincian
b. Pemerengganan
c. Penjalinan – penanda wacana
d. Penataan format
e. Penggunaan bahasa/Penataan laras bahasa
f. Pengolahan

3. Prapenulisan
a. Menyemak isi
b. Pengeditan bahasa(ejaan/tanda baca)
c. Menyemak format

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.